Ahad, 11 Disember 2011

Ikan Puyu boleh casting?

Sejak akhir-akhir ni, aku terlalu ghairah dengan 'Micro Lure'. Keseronokan bermain dengan 'Micro Lure' ini agak berlainan sedikit. Pada mulanya, target utama aku ialah ikan Bulan. Akan tetapi, gewang mikro yang aku gunakan menerima banyak sambaran terutamanya daripada ikan Haruan yang bersaiz 'baby'. Agak menyeronokkan apabila melihat anak-anak haruan ini mengejar gewang mikro. Akan tetapi, tak ada seekor pun anak Haruan atau ikan Bulan yang berjaya aku naikkan.

Tanpa disangka, seekor bapak ikan Puyu, menyambar gewang mikro aku. Pada mulanya aku ingatkan ikan Bulan. Oleh kerana joran yang aku gunakan juga adalah bersaiz mikro, aku dapat rasakan dengan jelas tarikkan ikan Puyu ini. Memang betul teori aku selama ini, ikan Puyu juga mempunyai potensi yang besar untuk sambar gewang. Tambahan pula, ini adalah merupakan kali kedua aku berjaya naikkan ikan Puyu dengan teknik 'casting.

Warna gewang yang sesuai mestilah warna yang terang seperti hijau, jingga atau merah jika bermain di air yang jernih. Berlainan pula jika di air yang keruh. Selalunya warna yang sesuai untuk air yang keruh ialah, hitam, silver atau gold.

Gewang mikro ini mestilah dimainkan dengan aksi yang cukup perlahan. Ianya mestilah kelihatan seperti ikan emas atau kap yang sedang berenang. Seperti yang semua orang tahu, renangan ikan emas atau kap ini tidaklah selaju ikan-ikan yang lain.

Perbezaan yang cukup ketara apabila aku cuba memainkan gewang mikro ini dengan aksi yang laju. Selalu tidak ada langsung sambaran. Aku pernah mencuba di air yang jernih dimana ikan Haruan boleh dilihat dengan jelas. Apabila aku cuba 'casting' gewang mikro dengan aksi yang laju, ikan Haruan langsung tidak menghiraukan gewang tersebut. Kemudian, aku cuba lakukan dengan aksi perlahan. Aku nampak dengan jelas Haruan menuju ke gewang mikro dan mengekorinya sampai ke tepi air.

Walaupun tiada sambaran yang berlaku, tetapi ianya sedikit sebanyak memberi gambaran tentang perkara yang boleh menarik minat ikan untuk bertindak. Pernah juga aku merima sambaran ikan Haruan yang besar, akan tetapi 'hook' gewang mikro ini terlalu kecil dan ianya tidak mampu mencangkuk ikan Haruan tersebut dengan sempurna. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna ianya tak boleh menaikkan ikan yang besar.

Masih banyak lagi eksperimen yang perlu aku lakukkan. Mungkin ada diantara kita hanya ghairah mencari ikan yang besar. Tetapi, aku sebaliknya, ghairah dalam mencuba pelbagai teknik. Akhir kata, kesimpulan yang dapat aku buat disini, kepuasan dalam mencuba pelbagai teknik adalah jauh lebih memberi kepuasan dalam memancing. Selain daripada itu, saiz joran dan kekili juga memainkan peranan yang amat penting dalam menghasil renangan yang cantik untuk gewang mikro ini.

1 ulasan: